Pindaan Akta Komunikasi dibentang pada sesi akan datang

Reposted from Sinar Online

22 Mac 2016

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, cadangan pindaan akta itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

“Akta ini kita telah lihat, saya telah lihat semua dengan mengambil kira pandangan masyarakat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata ia juga mengambil kira pandangan Kementerian Dalam Negeri yang mahu akta itu dipinda bagi mengawal selia media dalam talian atau blog yang berunsurkan politik.

“Mereka telah menyerahkannya kepada kami dan kami sedang meneliti semua cadangan. Anda perlu ingat bahawa ada blog ini bukan blog politik, sesetengahnya melibatkan blog fesyen dan hiburan,” katanya.

Salleh berkata pindaan akta itu antara lain bagi memperkukuh dan memperkemas mekanisme kawal selia Internet dan media baharu sedia ada.

Beliau menjelaskan pindaan akta itu bukan hanya mengenai kawal selia Internet, sebaliknya, ia juga bertujuan membina platform ekonomi melalui Internet dan gaya hidup digital.

Dalam perkembangan lain, Salleh berkata KKMM telah menghubungi Telekom Malaysia (TM) dan mengarahkan supaya syarikat telekomunikasi itu segera menyelesaikan proses baik pulih kabel yang sedang dilakukan.

“Ia tidak sepatutnya berlaku. Mereka seharusnya ada pilihan tertentu jika berlaku hal-hal seperti ini, mereka telah katakan mereka akan selesaikan sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Pengguna perkhidmatan Internet Jalur Lebar TM mengalami masalah gangguan perkhidmatan berikutan kerosakan kabel Ekspres Dasar Laut Asia sejak awal bulan ini.  – Bernama

0 Comments