MCMC Siasat 62 Aduan Salah Guna Media Sosial Setakat Mei Tahun Ini

Reposted from MCMC Official Portal 

6 June 2016

CYBERJAYA, 3 Jun 2016 — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima dan menyiasat sebanyak 62 aduan yang berkaitan dengan penyalahgunaan media sosial sepanjang tempoh antara Januari hingga Mei 2016.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 63% berbanding dengan tahun 2015 bagi tempoh yang sama, yang hanya mencatatkan sebanyak 38 kes, menurut Ketua Pegawai, Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin.

Zulkarnain berkata, 48 operasi serbuan telah dijalankan bagi tempoh yang sama dan pelbagai kelengkapan peralatan komunikasi milik individu yang disyaki, telah dirampas. Jumlah operasi serbuan yang dijalankan tahun ini, ujar beliau adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan tahun 2015 yang hanya mencatatkan sebanyak 13 serbuan.

Untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini juga, tegas Zulkarnain, empat kes berjaya didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) manakala empat kes lagi masih dibicarakan. Pada masa yang sama, MCMC turut mengeluarkan tawaran mengkompaun terhadap dua individu atas kesalahan yang sama.

“Kami menerima aduan-aduan tersebut melalui pelbagai sumber umpamanya daripada jabatan-jabatan dalaman MCMC dan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kebanyakan kes salah guna media sosial yang disiasat oleh MCMC adalah berkaitan dengan kesalahan seperti menghantar dan memuatnaik kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya yang merupakan kesalahan di bawah AKM 1998,” tambah beliau.

Zulkarnain turut menjelaskan, MCMC kini semakin agresif dalam tindakan penguatkuasaan khasnya mengenai penyalahgunaan media sosial. Menurut beliau, kerjasama baik yang diberikan dan kesanggupan orang ramai untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak penguatkuasa telah memudahkan tindakan susulan diambil.
Selain itu, penambahbaikan turut ketara dalam aspek masa yang digunakan untuk menyelesaikan sesuatu kes. Proses-proses seperti forensik, risikan dan siasatan yang dahulunya mengambil masa yang lama, berjaya dipendekkan. Sebagai contoh, proses forensik yang dahulunya mengambil masa selama 20 hari bekerja, kini telah dipendekkan kepada 14 hari manakala proses risikan pula hanya mengambil masa selama 7 hari berbanding dengan 14 hari sebelumnya. Bagi proses siasatan pula, ianya hanya mengambil masa selama 14 hari untuk dilengkapkan berbanding dengan 30 hari sebelum ini.
Menurut Zulkarnain lagi, kemampuan MCMC untuk memendekkan tempoh proses forensik, risikan dan penyiasatan sesuatu kes banyak dibantu oleh faktor seperti pertambahan bilangan pegawai, tambahan peralatan terkini dan jalinan kerjasama dan koordinasi kukuh antara agensi-agensi seperti PDRM dan Jabatan Peguam Negara.
“MCMC sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam menangani masalah ini antaranya mengambil tindakan seperti membuat laporan salah guna dan mengeluarkan notis pengalihan kepada pentadbir media sosial, memperkukuhkan kerjasama dan penyelarasan antara agensi-agensi penguatkuasa serta menggalakkan pengguna-pengguna internet mengamalkan kawalan kendiri.
MCMC turut mengalu-alukan kerjasama semua pengguna media sosial yang prihatin untuk membuat aduan kepada MCMC jika mendapati terdapat mana-mana individu yang telah menyalahgunakan media sosial kepada Pusat Aduan MCMC melalui talian hotline di 1-800-188-030, e-mel kepada aduanskmm@cmc.gov.my ataupun melalui whatsapp ke nombor +6016 220 6262.

Related Post
0 Comments