Azalina minta undang-undang siber diteliti semula

Reposted from Sinar Harian Online

26 July 2016

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya bagi kerajaan meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan siber, menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, cadangan itu bertujuan membendung penyalahgunaan teknologi maklumat dan media sosial.

“Melihat kepada perkembangan hari ini, pengaruh media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun terdapat undang-undang yang mencukupi namun sudah masanya untuk kerajaan meneliti semula undang-undang ini.

“Tidak dinafikan manfaat media sosial sebagai ejen perhubungan yang mudah, cepat dan murah. Namun peningkatan trend serangan siber serta penyalahgunaan media sosial dilihat semakin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, penelitian semula undang-undang siber itu bertujuan menangani ancaman keganasan dalam negara ini.

“Pihak-pihak tertentu menyalahgunakan media sosial untuk tujuan penipuan, merekrut pengganas, dan menanam kebencian terhadap kerajaan serta menganggu gugat keharmonian negara,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu menafikan langkah tersebut bertujuan menyekat kebebasan bersuara dan hak menggunakan ruang siber.

Ia sebaliknya dilakukan bagi melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa.

“Penelitian semula ini bertujuan mencari satu titik keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab pengguna,” tegasnya.

Related Post
0 Comments

leave a comment