Polis buka kertas siasatan video Namawee hina Islam

Reposted from Sinar Harian Online

29 July 2016
GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung sebuah video lagu penyanyi dan pengarah tempatan, Namawee yang menjadi viral kerana didakwa menghina agama Islam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, ekoran video klip lagu ‘Oh My God’ itu, pihaknya menerima beberapa laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan polis akan memanggil Namawee untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, sebahagian rakaman video lagu itu dilakukan di Masjid Terapung di Tanjung Bungah dan laporan polis pertama yang diterima ialah pada 27 Julai oleh jawatankuasa masjid berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Video klip memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral sejak semalam dan telah menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, perbuatan empat lelaki dalam video klip berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati orang Islam kerana mencemar imej masjid, sebagai tempat beribadat.

“Menurut pengerusi Masjid Terapung yang membuat laporan polis berhubung video itu, beliau memaklumkan rakaman yang dipercayai dilakukan di masjid tersebut memaparkan mereka berkelakuan tidak senonoh dengan menari dan menyanyi di dalam masjid.

“Tindakan empat lelaki itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara,” katanya.

Mior Faridalatrash berkata selain itu, mereka turut menjadikan beberapa rumah ibadat seperti kuil, tokong dan gereja dipercayai di sekitar negeri ini sebagai tempat rakaman nyanyian dan tarian dalam video berkenaan.

Katanya selain Namawee, polis juga akan memanggil beberapa individu termasuk mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, katanya. – Bernama

Related Post
0 Comments