5 Mei 2016
KUALA LUMPUR – Industri pemberi perkhidmatan telekomunikasi digesa memainkan peranan seiring dengan kerajaan dalam menangani isu global termasuk perubahan iklim.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, tanggungjawab itu tidak harus diletak di atas bahu kerajaan semata-mata kerana pemberi perkhidmatan telekomunikasi yang sentiasa berinteraksi dengan masyarakat boleh memainkan peranan terutama dalam aspek pengurusan sumber secara berkesan.
Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia mengenai Forum Masyarakat Bermaklumat (WSIS) di Geneva berkata, kerajaan dan swasta termasuk para pemberi perkhidmatan telekomunikasi telah bekerjasama dalam menangani isu perubahan iklim sejak 2009.
“Berlandaskan Objektif Dasar Kebangsaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerajaan dan swasta telah bekerjasama dalam menangani isu berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar dengan memberikan fokus dalam aspek Pengurusan Karbon, Pengurusan Sisa dan Pengurusan Sumber secara berkesan.
“Kerjasama tersebut termasuklah Inisiatif ‘Green ICT’ dan ‘e-Waste’,” katanya dalam ucapan dasarnya pada persidangan itu semalam. – Bernama
0 Comments